Video ini sempat dirakam oleh orang awam ketika kejadian peras ugut.
SHAH ALAM, 19 Dec – Seorang wanita
kini hidup dalam ketakutan apabila diserang ah long atau ‘ceti haram’ selepas
suaminya dikatakan gagal membayar hutang yang dipinjam dua tahun lalu berjumlah
RM 200,000.
Mangsa, Mazmira Taib, 29, berkata, dia
hanya mengetahui tentang hutang suaminya, Hakim Zani, 34, selepas ah long
tersebut datang menyerangnya di tempat letak kereta, di sebuah kompleks
membeli-belah, dekat sini, semalam.
“Waktu itu saya sedang menunggu kawan
untuk keluar makan. Tiba-tiba dia (ah long) datang, menjerit suruh saya keluar
dari kereta. Dia mengugut untuk mencederakan saya jika saya tidak dapat bayar
hutang tersebut,” katanya ketika ditemubual selepas membuat laporan polis di
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Mangsa yang juga merupakan seorang
suri rumah didakwa menjadi penjamin kepada pinjaman tersebut menyebabkan dia
diburu ah long meskipun mangsa tidak mengetahui langsung mengenai kontrak
pinjaman yang dibuat oleh suaminya itu.
Suaminya yang bekerja sebagai pegawai
kanan pentadbiran di sebuah syarikat swasta dipercayai membuat pinjaman
tersebut pada tahun pertama perkahwinan mereka.
“Memang kami ada masalah kewangan
sebelum ini, tapi saya tidak sangka yang suami sanggup pinjam duit dari ah
long. Malah, dia ada mengatakan bahawa dia ingin ke luar negara atas urusan
kerja sejak dua minggu lepas. Rupa-rupanya dia ingin lari dari membayar
hutang,” ujar Mazmira.
Menurut DSP Ahmad Ali, beliau
mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan yang dibuat oleh mangsa sejurus
selepas diserang. Pihak polis juga berusaha untuk menjejaki suami mangsa yang dikatakan
mempunyai urusan kerja di luar negara.
“Kami akan berusaha untuk menjaga
keselamatan mangsa dan akan menjalankan siasatan dengan terperinci berhubung
dengan kes ini supaya serbuan terhadap tempat-tempat pinjaman haram ini dapat
dilakukan,” ujar DSP Ahmad Ali ketika ditemui.

0 comments:
Post a Comment