Monday, 22 December 2014

KAJIAN ARTIKEL DARIPADA BLOG SUARA MURBA: ARTIKEL 1: KEBEBASAN BERITA DAN INFORMASI SIBER: SUATU PARADOKS.



Nukilan penulis blog Suara Murba dengan artikelnya berbunyi Kebebasan Berita Dan Informasi Siber: Suatu Paradoks’ telah menarik perhatian ramai pembaca-pembaca blog. Penulis artikel ini memperkenalkan bagaimana kebebasan berita dan informasi di alam siber dianggap sebagai suatu paradoks. Kebebasan dalam komunikasi siber ini telah digariskan dalam Akta Komunikasi dan Media sejak konflik politik yang berlaku antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Secara kasar, kebebasan berita dan informasi siber di Malaysia tidak sebebas yang disangka. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 meletakkan peraturan yang membataskan kebebasan yang diberikan kepada media tradisional terutamanya surat khabar. Setiap syarikat percetakan harus menghidupkan lesen percetakannya sekali setahun. Namun, akta ini kini sudah dipinda dan dimudah carakan.

Walaupun terdapat kebebasan kepada masyarakat untuk mendapatkan dan menyebarkan informasi dan juga berita, mereka tetap harus akur dengan akta-akta yang berkaitan seperti Akta Hasutan 1969, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957 dan Akta Dalam Negeri 1960. Akta-akta ini boleh menyekat kebebasan yang digembar gemburkan.

Saban tahun, pengguna internet meningkat dengan mendadak. Pada tahun 1995, penduduk Malaysia  mula menggunakan komputer. Internet pula mula digunakan masyarakat sejagat di Malaysia pada tahun 1997. Jumlah pengguna siber meningkat mendadak pada tahun 1999 dan kian bercambah sehingga ke hari ini. Kini, boleh dikatakan majoriti rakyat Malaysia sudah mula menggunakan internet sebagai wahana hiburan, informasi dan berita.




Kebebasan informasi dan berita dalam alam maya dikatakan suatu paradoks kerana kita kenyataan bahawa kita mempunyai kebebasan itu benar tetapi secara praktikalnya kebebasan itu tidak seluas yang disangka. Walaupun sedemikian, langkah menapis kebebasan siber ini amat penting bagi mengelakkan perpecahan antara masyarakat.

Umum sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya. Setiap bangsa dan agama mempunyai sensitiviti-sensitiviti kaum yang tersendiri. Setiap daripada ahli masyarakat harus akur dan hormat dengan segregasi kaum yang berlaku ini agar tidak berlaku sebarang pertelagahan antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Melalui penelitian daripada nukilan blog Suara Murba ini, penulis percaya bahawa dengan penapisan dan usaha mengekang kebebasan siber inilah yang mampu untuk mengelakkan isu-isu tidak bermoral di alam maya. Harapan untuk melihat rakyat sejagat menjadikan internet sebagai wahana untuk mencambahkan dan memperluaskan minda harus disahut semua masyarakat.



Posted on by RAZA SYAZANI MUHAMMAD | No comments

0 comments:

Post a Comment